YADIM santuni keluarga dan pelajar Palestin di Malaysia

0
37
Rakyat Palestin di Malaysia yang hadir menerima sumbangan Musaadah Yadim di Ampang hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 289 keluarga Palestin yang tinggal di negara ini menerima sumbangan Musa’adah menerusi kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hand of Charity.

Sumbangan wang tunai berjumlah RM500 bagi 50 keluarga (dari fasa pertama) itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, semalam.

Ahmad Marzuk berkata, sumbangan tersebut bertujuan menyantuni rakyat Palestin yang tinggal di negara ini atas semangat solidariti dan saudara se-Islam khususnya dalam meringankan beban ekonomi yang ditanggung komuniti itu.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu warga Palestin dan sebagai penanda aras bahawa Yadim sentiasa cakna dengan kebajikan masyarakat bukan sahaja warga Malaysia tetapi juga saudara Islam yang lain,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Musa’adah kepada rakyat Palestin di Malaysia, semalam.

Ahmad Marzuk Shaary

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof. Madya Dr. Amir Shaharudin dan Pengurusi Eksekutif Hand of Charity, Abdul Rahman Hanini.

Sementara itu, Tuan Kamarul berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif yang dirancang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

“Menteri telah mengarahkan kesemua 14 agensi di bawah bidang kuasa beliau untuk memikirkan satu bentuk bantuan bagi meringankan kesan pandemik Covid-19 dan juga situasi semasa yang berlaku di Palestin.

“Hari ini adalah penyampaian bantuan kepada 50 daripada 289 keluarga Palestin yang dilaksanakan secara berfasa mengikut kawasan iaitu Ampang, Kajang, Gombak dan juga secara dalam talian.

“Melalui inisiatif ini juga kami bekerjasama rapat dengan Yayasan Waqaf Malaysia selaku pengumpul dana dan sumbangan serta NGO, Hand Of Charity yang bertanggungjawab mengenal pasti golongan penerima,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh ketika berucap pada majlis peneyerahan sumbangan Musa’adah kepada rakyat Palestin di Malaysia.

Dr. Amir Shaharudin berkata, selain sumbangan untuk keluarga terjejas, pihaknya juga menyalurkan kira-kira RM48,000 sumbangan yang dikumpul sebagai bantuan pendidikan kepada pelajar Palestin di universiti awam dan swasta negara ini.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada 118 pelajar Sarjana dan Kedoktoran untuk melangsaikan hutang pengajian yang tertunggak.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada individu atau pihak syarikat di negara ini supaya bersama-sama menyumbang dalam meringankan beban rakyat Palestin di negara ini.

“Kami amat mengalu-alukan sumbangan kepada Yayasan Waqaf Malaysia untuk terus menyalurkan bantuan pada masa akan datang,”katanya.

AHMAD Marzuk Shaary (dua dari kiri) bersama Tuan Kamarul Arief Tuan Soh (kiri) dan Abdul Rahman Hanini menyampaikan sumbangan dana kepada warga Palestin di Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here