10 maut termasuk lapan kanak-kanak dalam kemalangan babitkan sebuah treler dan tiga kereta

0
230
Sebanyak 10 maut dalam kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM – Sepuluh maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi.

Mangsa yang maut terdiri daripada lapan kanak-kanak iaitu lima orang lelaki dan tiga orang perempuan, dua lagi mangsa ialah seorang lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam yang memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

Norazam berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

“Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norazam, seorang wanita dewasa dan lapan kanak-kanak yang menaiki kereta Proton Wira meninggal dunia manakala seorang lagi mangsa yang maut ialah lelaki dewasa menaiki sebuah lagi kereta Proton Wira.

“Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat,” katanya.

Jelas beliau, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here