1,022 sekolah daif di Sarawak bakal dinaik taraf – Perdana Menteri

0
25
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini hari ini.

KUCHING – Sebanyak 1,022 sekolah daif telah dikenal pasti di seluruh Sarawak untuk dinaik taraf dan dibaik pulih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dalam hal pendidikan terutamanya bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

“Apabila saya mendengar taklimat pembangunan Sarawak, saya dimaklumkan tentang rumah guru dan sekolah daif di Sarawak. Saya panggil Menteri Kewangan minta pastikan isu itu diselesaikan segera.

“Kita akan sediakan peruntukan besar untuk pastikan sekolah daif itu dapat kita naik taraf, dibaik pulih atau dibina baru di seluruh Sarawak,” katanya dalam Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dari segi pendidikan supaya setiap pelajar selesa untuk meneruskan
pembelajaran.

Katanya, bagaimanapun pembangunan demi pembanguan itu hanya boleh dilakukan jika ada hubungan akrab antara kerajan pusat dan negeri.

“Saya ak boleh bayangkan kesukaran itu kalau tampuk pemerintahan Sarawak bertukar ke kerajaan yang lain.

“Kalau nak pembangunan ini terus dijalankan, pastikan kerajaan ini dikekalkan. Kerajaan negeri dan pusat kena ada hubungan rapat bagi meneruskan pembangunan Sarawak demi rakyat Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh projek pembangunan di Kapit dan beberapa kawasan lain di negeri itu, Ismail Sabri berkata, beliau yakin dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Mukah ke Kapit, Song Kanuit dan Sibu yang sudah pun siap serta dengan siapnya ‘Kapit Twin Bridge’ akan membolehkan Kapit membangun dengan cepat.

“Saya pernah ke Kapit tahun 2010, naik ekpres bot. Singgah di Song makan tengah hari di sana, dua jam perjalanan habis satu movie

“Ahli Parlimen Kapit bersama saya dan memaklumkan sukar kalau ada kecemasan selepas pukul 3 petang kerana masa itu bot terakhir. Jadi kalau yang berduit boleh charter bot, tapi kalau yang tak berduit kena tunggu esok

“Saya terus berbincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tentang hal ini untuk di mempercepat bagi memudahkan urusan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here