103,000 hadir Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

0
10

KUALA LUMPUR –  Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia menerima sambutan luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 103,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jumlah itu jauh mengatasi sasaran awal iaitu 20,000 pengunjung berdasarkan anggaran 5,000 pengunjung setiap hari.

“Program ini menerima sambutan melebihi 300 peratus dari jangkaan asal. Jadi pada hari terakhir hari ini kami lanjutkan waktu penutupan rasminya sehingga 10 malam.

“Sambutan luar jangka ini juga menyebabkan kita membuat beberapa perubahan demi mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Antaranya adalah penutupan kaunter saman Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada hari kedua program,” katanya pada ucapan Rumusan 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang ini.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani; ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua pengarah jabatan kerajaan.

Mohd Zuki Ali berucap pada Rumusan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC hari ini.

Sebanyak 31 reruai pameran Kementerian yang terdiri daripada 26 Kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengambil bahagian dalam program itu.

Selain itu, sebanyak 102 gerai jualan usahawan, tapak aktiviti dan acara karnival kerjaya diadakan sepanjang program empat hari itu.

Mohd Zuki berkata, kejayaan program itu adalah hasil kerjasama semua kementerian dan agensi kerajaan melalui semangat Keluarga Malaysia.

Mohd Zuki juga berharap setiap kementerian terus memberi sepenuh komitmen bagi meneruskan aspirasi tersebut dengan pelbagai inisiatif ke arah kesejahteraan dan kemakmuran seluruh Keluarga Malaysia, dan tidak hanya terhad kepada 100 hari pertama pentadbiran.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai Khamis dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Mohd Zuki turut menyeru masyarakat untuk menghayati konsep dan makna sebenar aspirasi Keluarga Malaysia terutama ketika menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan hadiah kepada 11 kementerian yang memenangi pertandingan reruai tercantik.

Hadiah pertama dimenangi oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Sumber Manusia (kedua) dan Kementerian Dalam Negeri (ketiga).

Sementara itu hadiah Cabutan Bertuah Perdana iaitu sebuah Proton X50 dimenangi oleh Hartini Abu Kassim manakala dua buah motosikal dimenangi Zaini Mohd Zain dan Ciman Salleh.

Zaini Mohd Zain dan Ciman Salleh (kanan) yang memenangi hadiah Cabutan Bertuah Perdana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here