11 lagi kes varian Omicron dikesan di Malaysia

0
36
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu pesakit Covid-19 yang dijangkiti varian Omicron terus meningkat apabila 11 kes lagi dilaporkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah baharu itu melibatkan 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember lalu.

“Kesemua 11 kes varian Omicron yang dilaporkan ini adalah kes import, di mana tiga kes dari United Kingdom, tiga kes dari Amerika, dua kes dari Nigeria, dua kes dari Arab Saudi dan satu kes dari Australia.

“Sembilan kes adalah warganegara Malaysia manakala dua kes adalah warganegara Nigeria,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua dan tiga lagi kes tidak bergejala.

Tambahnya, lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

“Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

“Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan.

“Ini disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima. Ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes.

“Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada 17 Disember 2021 dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS).

“Maklumat lanjut mengenai perkara-perkara di atas akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

“KKM juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan daripada 11 Disember 2021 sehingga 17 Disember 2021.

“IMR telah mengenal pasti sebanyak 128 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 117 varian Delta (B.1.617.2) dan 11 varian Omicron (B.1.1.529), manakala Malaysian Genome & Vaccine Institute (MGI) telah mengenalpasti sebanyak 48 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Di samping itu, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) juga telah mengenalpasti 46 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2),” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here