110 mangsa di Pusat Penempatan Banjir Brainy Bunch

0
104
Kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya.
Kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya yang kini beroperasi sebagai pusat penempatan mangsa-mangsa banjir.

CYBERJAYA – Kampus Utama Brainy Bunch yang beroperasi sebagai pusat penempatan sementara sejak tiga hari lalu sehingga kini menyediakan penginapan kepada 110 mangsa banjir.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Malakat Eco, Hilmi Ismail berkata, kehadiran mangsa-mangsa banjir setakat pagi ini adalah dari sekitar Dengkil, Banting, Puchong dan Shah Alam.

“Dari segi penginapan kami mengagihkan mangsa-mangsa banjir kepada dua kumpulan iaitu lelaki di surau utama dan perempuan di satu lagi surau di tingkat 3.

“Setakat ini kami masih mampu menampung penginapan mangsa-mangsa banjir yang menghubungi kami dan sebahagian daripada mereka ada yang sudah pulang ke rumah selepas air mula surut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hilmi Ismail
Hilmi Ismail

Menurut Hilmi, selain penempatan di surau, pihaknya juga menyediakan bilik khas untuk mangsa-mangsa yang datang dalam keluarga yang besar dan mempunyai ahli keluarga Orang Kurang Upaya dan uzur.

“Alhamdulillah setakat ini maklum balas yang diterima sangat positif dan kami di Brainy Bunch berharap untuk membantu lebih ramai mangsa-mangsa yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, Hilmi berkata, sebagai jaminan dan pemantauan kesihatan, pihaknya hari ini turut mengadakan ujian saringan Covid-19 kepada semua mangsa banjir di pusat penempatan sementara itu.

“Langkah pemantauan dan pencegahan ini perlu untuk menjamin keselamatan mereka dan juga kakitangan sekolah ini,” katanya.

Sukarelawan Kumpulan Malakat Eco yang terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir di Selangor.

Menurut Hilmi, Yayasan Brainy Bunch dan Kumpulan Malakat Eco mensasarkan kutipan derma sebanyak RM100,000 melalui platform sedekahnya, SadaqahMarket.com untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor.

Katanya, selain menyediakan tempat penempatan sementara dan mengumpul derma, pihaknya juga mengumpul barang-barang keperluan dan melancarkan misi bantuan ke lokasi yang teruk terkesan.

“Semalam kami sudah masuk ke Bukit Changgang dan Olak Limpit, hari ini kami membuat agihan bantuan di beberapa lokasi termasuk di Kampung Giching dan
Kampung Salak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here