14,000 mangsa banjir dipindahkan pagi ini-Info Bencana JKM

0
46
Mangsa banjir dipindahkan malam tadi selepas air naik mendadak di beberapa kawasan perumahan di Sungai Buloh, Selangor.

CYBERJAYA –  Lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri yang dilanda banjir sejak semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pahang mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 5,189 mangsa dipindahkan pada pagi ini.

Sebanyak tujuh daerah di Pahang iaitu Raub, Lipis, Bentong, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan dilanda banjir dengan 116 PPS dibuka setakat 9 pagi.

Hujan berterusan juga menyebabkan bacaan di 19 stesen sungai di Pahang melebihi paras bahaya antaranya Sungai Jelai di Lipis, Sungai Tembeling (Jerantut), Sungai Bentong (Bentong), Sungai Semantan (Temerloh), Sungai Pahang (Temerloh) dan Sungai Lembing serta Sungai Belat di Kuantan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan peringkat bahaya akan berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan hari ini, manakala Temerloh, Maran dan Pekan dijangka dilanda hujan lebat berterusan tahap buruk.

Sementara itu, di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan 4,596 orang dipindahkan setakat 7 pagi ini, membabitkan pembukaan 55 PPS.

Di Kelantan pula, sebanyak mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, dengan 3,652 orang daripada 826 keluarga ditempatkan di 44 PPS.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir  meningkat sedikit kepada 261 orang daripada 88 keluarga setakat 9 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun merupakan satu-satunya daerah yang dilanda banjir ketika ini dengan tiga PPS beroperasi.

Selain itu di Melaka, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 563 orang daripada 112 keluarga melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Manakala di Negeri Sembilan, mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 413 individu daripada 96 keluarga dan 10 PPS dibuka setakat 8 pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here