150 kontak rapat kes Covid-19 di Sekolah Seri Puteri dipindahkan ke IAB

0
36
Sebahagian pelajar Sekolah Seri Puteri yang dibawa ke Maeps semalam selepas disahkan positif Covid-19

CYBERJAYA – Seramai 150 murid Tingkatan Lima Sekolah Seri Puteri (SSP) yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 akan dipindahkan Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan hari ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan di pusat kuarantin berkenaan.

“Mereka akan ditempatkan seramai dua orang dalam satu bilik. Ini akan memudahkan segala proses pemantauan ketika proses kuarantin nanti.

“Insya-Allah murid-murid lain juga akan dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklum kepada ibu bapa secepat mungkin,” katanya dalam satu hantaran video menerusi laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Terdahulu beliau hadir ke IAB bagi meninjau persediaan pusat kuarantin itu untuk menerima kemasukan murid terbabit.

Dalam pada itu, Radzi berkata, bilik dan kemudahan yang disediakan juga berada dalam baik bagi keselesaan murid berkenaan.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan pelajar sekolah tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata, setakat ini seramai 73 orang pelajar dan guru sekolah berkenaan didapati positif Covid-19.

Khairy berkata, mereka yang positif itu adalah dua guru dan 71 pelajar.

Katanya lagi, seramai 451 individu sudah disaring iaitu 437 pelajar, 13 guru dan seorang petugas.

Sementara itu, seramai 65 pelajar dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here