188 PPS sudah beroperasi

0
14

CYBERJAYA – Setakat malam tadi, terdapat seramai 11,384 mangsa banjir membabitkan 4,500 keluarga dari enam buah negeri yang terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, setakat pukul 11 malam tadi, sebanyak 188 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

“(Sebanyak) 39 PPS (dibuka) di Kelantan, 39 di Terengganu, 84 di Pahang, sembilan PPS masing-masing di Melaka dan Negeri Sembilan dan 45 di Selangor,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara di Pulau Meranti, Puchong malam tadi.

Semua bantuan dan aset diuruskan dan digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) negeri dan Pusat dengan secara keseluruhan melibatkan 66,015 petugas pelbagai agensi penguat kuasa.

“Sebanyak 5,731 buah PPS tersedia di seluruh negara boleh menempatkan sehingga 1,628,512 mangsa, manakala 500 sukarelawaan skuad Keluarga Malaysia digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa di PPS.

“Sejumlah 521 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersedia seluruh negara bagi membekalkan keperluan barangan untuk mangsa PPS,” kata Perdana Menteri.

Mengulas mengenai situasi banjir di Selangor yang semakin memburuk, Ismail Sabri berkata, ia tidak dijangka kerana musim tengkujuh kebiasaannya akan melibatkan negeri-negeri Pantai Timur.

“Selangor agak kelam kabut sedikit kerana mungkin di negeri-negeri saya sebut tadi kalau Monsun Timur Laut ini memang persediaan dibuat awal tapi Selangor keadaannya berlaku mengejut kerana musim tengkujuh jarang banjir di Selangor.

“Walaubagaimanapun keadaan itu mengejut seolah banjir kilat,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut meminta semua mangsa banjir supaya tidak bimbang kerana kerajaan akan memastikan segala usaha untuk penyelamatan akan dilakukan sesegera mungkin.

“Saya minta supaya berhati-hati ketika banjir, jaga anak masing-masing kerana air kita tidak tahu sederas mana. Kita juga sedang dapatkan terperinci berapa ramai masih lagi terperangkap untuk hantar bantuan,” tambah beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here