5,731 PPS seluruh negara mampu tampung 1.63 juta mangsa-Rina

0
19
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA – Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara dan mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

Beliau berkata, setakat jam 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Untuk itu, sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rina, bagi menangani penularan Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Selain itu kata Rina,  kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

“Pada masa ini juga, seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here