593 botol perisa vape berjaya dirampas di pengkalan haram

0
16
Gambar Hiasan

RANTAU PANJANG – Sebanyak 593 botol perisa vape bernilai RM50,405 berjaya dirampas di pangkalan haram Lubok Gong, di sini pada pukul 4.30 awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika kejadian, anggota membuat rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan ketika itu sedang memunggah kotak dari tebing sungai ke perahu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota bertugas mendekati kumpulan lelaki terbabit, namun mereka bertindak melarikan diri ke Thailand, menggunakan perahu dengan menyeberangi Sungai Golok.

“Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada kotak yang ditinggalkan dan mendapati terdapat pelbagai jenis perisa vape, disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Kesemua barangan itu dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk laporan sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjurt, Azhari berkata, modus operandi penyeludupan itu ialah menyimpan stok perisa vape di lokasi transit berdekatan pangkalan haram, sebelum dibawa menggunakan perahu ke Thailand.

“Tindakan menyeludup cecair vape ke Thailand adalah kerana ia mendapat permintaan tinggi di negara itu selain nilainya yang lebih mahal berbanding di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here