8,222 kes perceraian di NS sejak 2019

0
7
GAMBAR HIASAN

SEREMBAN – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini diberitahu, sebanyak 8,222 kes perceraian suami isteri direkodkan di negeri itu sejak 2019 sehingga kini.

Portal Utusan Online melaporkan, angka tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kata Aminuddin, jumlah itu adalah berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta rekod Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

“Berdasarkan rekod JPN bagi 2019 sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 1,418 perceraian di Negeri Sembilan telah didaftarkan. Berdasarkan rekod JPN bagi tahun 2019 sehingga 31 Ogos 2021 (pula), sebanyak 32,606 perceraian didaftarkan di seluruh negara.

“Melalui rekod JHEAINS dan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, pada 2019, sebanyak 3,177 kes perceraian didaftarkan. Pada tahun lalu, sebanyak 2,563 kes didaftarkan dan bagi tahun 2021 sebanyak 1,064 kes telah didaftarkan,” katanya.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Gemencheh) yang ingin mengetahui jumlah kes perceraian bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.

Sementara itu Aminuddin memaklumkan, kerajaan negeri melalui JHEAINS telah menyediakan bantuan khidmat nasihat kepada pasangan suami isteri yang memerlukan sesi runding cara yang dikendalikan oleh pegawai terlatih.

“Selain itu juga, JHEAINS berkolaborasi dengan Bahagian Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) khusus dalam memberi bimbingan pasangan yang bermasalah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here