90 peratus populasi remaja negara sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

0
10
Khairy Jamaluddin.

CYBERJAYA – Malaysia berjaya mencatat pencapaian penting dalam melawan Covid-19 hari ini apabila 90 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Pencapaian itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu ciapannya, hari ini.

“Kita telah mencapai kejayaan penting hari ini dengan 90 peratus daripada populasi berumur 12-17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. Bagi warga emas, sila dapatkan segera dos penggalak anda kerana ia telah tersedia,” kata Khairy Jamaludin dalam ciapan tersebut.

Sementara itu, berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman COVIDNOW, 86.5 peratus atau 2,721,784 daripada populasi remaja pula lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Bagi populasi dewasa, sebanyak 22,722,055 individu atau 97.1 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,049,440 atau 98.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam satu ciapan berasingan, Khairy Jamaludin memaklumkan, nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia kini telah menghampiri 1.0 semula dan mengingatkan orang ramai untuk meningkatkan langkah pencegahan dan sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu Test, Report, Inform, Isolate dan Seek.

“Rt menghampiri 1 semula. Dua minggu lepas bila (Rt) melepasi 1, kita semua telah mainkan peranan untuk menurunkan balik angka Rt. Yakin kita boleh. (Pakai) pelitup, (jaga) jarak, elak (tempat) sesak, (ambil) dos penggalak, jaga ibu bapa dan (amalkan) #TRIIS,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here