Agong dan Permaisuri Agong lancar aplikasi MyKariah

0
25

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong pada majlis pelancaran aplikasi MyKariah di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini 

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyempurnakan majlis pelancaran aplikasi MyKariah di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan.

Menurut Catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Aplikasi MyKariah adalah inisiatif Yayasan Pahang (YP) yang dibangunkan bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

“MyKariah mendapat sokongan penuh Kerajaan Pahang dalam meningkatkan peranan dan fungsi institusi masjid di seluruh Negeri Pahang, sekali gus mentransformasi masjid sebagai pusat sehenti,” kata Istana Negara.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Menerusi aplikasi berkonsepkan data masa nyata itu, masjid di seluruh Pahang boleh mendapatkan rekod terkini golongan asnaf di kawasan kariah masing-masing, dalam memastikan pelbagai jenis bantuan seperti zakat, sedekah dan infaq disalurkan kepada penerima bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dengan pantas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here