Ahli Parlimen sokong Ismail Sabri sebagai PM hingga Parlimen dibubar

0
158
Sidang akhbar oleh Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus menerajui kepimpinan negara sehingga berakhir penggal Parlimen pada tahun 2023.

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu penting bagi memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 serta melaksanakan pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, tempoh 100 hari tidak mencukupi untuk kerajaan menyelesaikan isu rakyat dan Perdana Menteri perlu diberikan lebih masa untuk mengotakan janji demi kepentingan rakyat.

“Untuk selesaikan masalah rakyat, apa yang kita janji mesti ditunaikan. Sekarang ini baru 100 hari dan tak mungkin dalam 100 hari boleh tunaikan apa yang dijanjikan merangkumi pemulihan ekonomi.

“Kalau nak mempercepatkan pilihan raya, kena luluskan Akta Anti Lompat Parti terlebih dulu. Rakyat tidak mahu perkara ini (lompat parti) berlaku lagi dan kita ada lagi benda nak selesaikan seperti Undi 18, pendaftaran undi automatik.

“Saya sebagai penyokong kerajaan, pertama sekali saya beri sokongan kepada Perdana Menteri kita untuk beliau meneruskan sehingga tahun 2023 kerana rakyat mahu tahu beliau adalah pilihan untuk lima tahun atau satu penggal,” katanya dalam satu sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Julau, Larry Sng; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Parlimen Pasir Salak selaku Pengerusi BBC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan beberapa penyokong BBC yang lain.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, beliau yang mewakili Pas menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, 18 ahli Parlimen parti berkenaan berada di belakang Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Mewakili Pas, kami menyokong penuh kepemimpinan Yang Amat Berhormat (Ismail Sabri) yang berjaya membawa satu wadah kepimpinan Keluarga Malaysia sangat berjaya.

“Kita yakin banyak kita boleh laksanakan untuk kebaikan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan rantau. Kami berdiri penuh 18 orang (ahli Parlimen) bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sehingga akhir penggal, insya-Allah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here