
CYBERJAYA – Pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Jan 2022 kepada pengguna akaun Domestik di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengecualian itu meliputi pengguna akaun Domestik di bawah Kod Tarif 10 dan merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut kenyataan itu lagi, pengguna terjejas banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik dan tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.
“Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak menerima pengecualian tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.
“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” kata kenyataan itu, hari ini.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 atau merujuk aplikasi Facebook, Instagram dan Twitter syarikat itu, selain boleh mengajukan pertanyaan dan aduan di Help Centre yang boleh diakses di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.