Akses ke akaun pembayar cukai hanya libatkan prosiding garnisi – LHDN

0
99

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan kebenaran pihaknya untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai adalah hanya bagi kes-kes yang melibatkan perintah garnisi di mana mahkamah telah memutuskan untuk membenarkan garnisi dibuat.

Prosiding garnisi adalah proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak.

“Dalam kes ini, bagi LHDN, proses ini adalah tindakan susulan sekiranya adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai,” kata LHDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata LHDN lagi, kuasa tersebut adalah selari dengan peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang telah diluluskan dalam Rang Undang-Undang Kewangan 2021 pada 15 Dis lalu.

“Pengenalan peruntukan baharu ini, dapat membantu LHDN mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif dengan meminimakan ketirisan cukai disebabkan oleh kegagalan pembayar cukai melangsaikan hutang cukai yang wujud, selain meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai.

“Bagaimanapun, kuasa yang diberikan di bawah peruntukan baharu ini tidak memberi kuasa mutlak kepada HASiL untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya kerana masih perlu melalui proses penghakiman yang ditetapkan, dan hanya terhad kepada kes-kes yang telah pun melalui prosiding sivil terlebih dahulu,” jelas LHDN.

Kenyataan itu menambah, pembayar cukai yang sedia menjalankan tanggungjawab percukaian mereka dengan teratur tidak perlu resah kerana peruntukan ini tidak terpakai kepada mereka.

“Sebagai kesimpulan, peruntukan baharu S106A ACP 1967 ini hanya memberi kuasa kepada LHDN untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi dibenarkan oleh mahkamah.

“LHDN sekali lagi menekankan bahawa maklumat akaun bank pembayar cukai sedia ada yang tidak melibatkan tindakan garnisi tidak dapat diakses oleh LHDN melalui peruntukan baharu ini,” katanya lagi.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, boleh dimajukan menerusi talian Care Line 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara). Live Chat LHDN, atau menerui borang maklum balas di portal rasmi LHDN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here