Alumni SMK Sultan Ismail II turun hulurkan sumbangan mangsa banjir

0
16
Antara barangan yang disumbangkan termasuk lampin pakai buang, dan bekalan makanan kering.

CYBERJAYA – Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Lembah Klang dan Selangor, sekumpulan bekas pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail II dari Kemaman, Terengganu turut menghulurkan bantuan barangan keperluan di Malakat Mall, hari ini.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk lampin pakai buang kanak-kanak, alatan penjagaan kebersihan peribadi, dan pelbagai jenis makanan kering.

“Ada antara kami yang pernah merasai apa yang mereka rasa sekarang, semoga bantuan yang kami hulurkan ini dapat membantu mereka mengharungi kepayahan sekarang,” kata wakil kumpulan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Amin.

Amin (kiri sekali) bersama rakan-rakannya selepas selesai menurunkan barangan bantuan buat mangsa banjir, di Malakat Mall, Cyberjaya, hari inui.

Kata Amin yang berasal dari Kuantan, Pahang, beliau dan rakannya yang lain, sebenarnya berada di Lembah Klang bagi menghabiskan waktu hujung minggu.

“Saya berasal dari Kuantan, manakala ada yang dari Kemaman, Terengganu. Sebenarnya, kami berada di sini untuk berjumpa rakan-rakan lama sealumni yang lain.

“Tapi, berikutan insiden banjir yang melanda, kami pun terperangkap di sini,” katanya lagi.

Hasil perbincangan dengan rakan sealumni yang lain, mereka membuat keputusan untuk mengumpulkan sedikit dana yang ada bagi membeli barangan yang boleh disumbangkan kepada mangsa banjir.

“Kami dapat tahu menerusi media sosial bahawa di Malakat Mall, Cyberjaya ada pusat pengumpulan barangan, jadi sebab itu kami ke sini untuk menurunkan barangan tersebut,” kata Amin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here