Aset Muhammad Sajjad dibida dengan nilai RM132,000, masih belum cukup bayar tuntutan OWA Resourses Sdn Bhd

0
196

Zeti Zukifili ketika ditemui pemberita sebaik selesai lelongan awam di kediaman milik Muhammad Sajjad di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Harta Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang berjaya dibida dengan nilai RM132,000 oleh seorang lelaki hari ini tidak memenuhi jumlah sebenar pampasan dituntut OWA Resources Sdn Bhd sebanyak RM183,000.

Peguam, Zeti Zukifili dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, pihaknya akan berbincang bersama anak guam untuk tindakan lanjut bagi menyelesaikan baki pampasan yang berjumlah RM51,000.

“Proses lelongan awam di premis No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara ini bermula jam 10.30 pagi. Pembida yang berminat perlu membuat bayaran deposit RM5,000 secara tunai sebelum dibenarkan masuk dan dibawa melihat barangan pada jam 11 pagi.

“Seramai lapan pembida menyertai proses lelongan membabitkan 40 barangan dengan harga bidaan bermula dari RM77,650, ramai pembida yang tidak dapat masuk kerana masalah tertentu termasuk tidak membawa deposit secara tunai.

“Seorang pembida berjaya memperoleh semua barangan dilelong itu pada harga RM132,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai lelongan awam di kediaman milik Muhammad Sajjad di sini, hari ini.

Antara barangan termahal yang dilelong adalah piano bernilai RM40,000 dan termurah pembakar roti selain beberapa barangan lain iaitu sofa, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.

Zeti berkata, pembida perlu mengeluarkan kesemua barangan berkenaan secepat mungkin mengikut tempoh yang dipersetujui bersama tuan rumah.

Sementara itu, Nurwati Hussin, 41, dari OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat berpuas hati dengan proses lelongan yang diadakan itu.

Nurwati berkata, beliau akan berbincang dengan peguam mengenai jumlah yang diperoleh dalam lelongan berkenaan.

“Jika tidak mencukupi, kita akan teruskan dengan proses selanjutnya dan saya akan bincang dengan peguam supaya dapat satu jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu membenarkan harta usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disita dan dilelong susulan kegagalannya membayar pampasan kepada bekas stokis utama, OWA Resources.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here