Ayam import dari China, Thailand disahkan halal oleh Jakim – DVS

0
385
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan semua loji memproses ayam di Thailand dan China bagi mengeksport ternakan itu ke Malaysia adalah masih sah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut DVS dalam satu kenyataan,  ketika ini terdapat sembilan loji ayam di Thailand dan dua di China yang diluluskan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam ke negara ini.

“Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand dan di China iaitu Shandong Halal Certification Services masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jakim sehingga 31 Disember 2023.

Sebelum ini tular video seorang penceramah bebas yang mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

Sehubungan itu, DVS mengingatkan orang awam supaya merujuk kepada pihaknya untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan perkara-perkara yang berkaitan sahih sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here