Bagaikan tsunami, syukur anak-anak tahfiz kami selamat

0
91
Abdullah Abdol Razak (kiri) semasa melawat tapak asrama Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15, Hulu Langat yang musnah dalam banjir besar pada 18 Disember lalu.

HULU LANGAT – “Takut hendak saya membayangkan seandainya anak-anak tahfiz ada di situ. Nasib baik ketika kejadian semua pelajar balik bercuti.

Begitulah luahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Sofa, Abdullah Abdol Razak berikutan banjir besar yang memusnahkan keseluruhan asrama lelaki Maahad Tahfiz Al-Quran dan Qiraat As Sofa di Batu 15, Hulu Langat.

Beliau mengaku tidak dapat membayangkan malapetaka dan kesedihan yang bakal dihadapi sekiranya 35 pelajar berada di tahfiz berkenaan ketika kejadiaan.

Katanya, selepas kunjungan ke lokasi bersama Skuad Sofa Prihatin, beliau tergamam melihat kemusnahan yang berlaku akibat limpahan air sungai pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata, walaupun bangunan asrama tersebut mengalami kemusnahan ‘total’, keseluruhan warga Yayasan Sofa bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.

“Bangunan yang terletak bersebelahan dengan Sungai Lui lenyap terus selepas ‘dibawa’ air yang naik setinggi dua meter.

“Saya sebak sehingga menitiskan air mata melihat keadaan maahad tahfiz yang dulu tersergam kini lenyap bagaikan padang jarak,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sisa-sisa barangan milik pelajar yang tertinggal berhampiran tapak bangunan asrama.
Perbezaan gambar menunjukkan keadaan asrama tahfiz sebelum kejadian pada 18 Disember lalu.

Menurut Abdullah, bangunan asrama perempuan dan pentadbiran sekolah tidak terjejas dalam kejadian itu walaupun terletak tidak jauh dari asrama pelajar lelaki.

Ekoran kejadian itu katanya, pihaknya sedang berusaha mencari penempatan sementara untuk pelajar lelaki memandangkan sesi persekolahan akan bermula awal tahun depan.

Sehubungan itu juga, Yayasan Sofa melancarkan Tabung Kilat -Rayuan Bantuan Banjir Yayasan Sofa bagi membangunkan semula bangunan yang musnah dalam kejadian itu dan membaiki peralatan yang rosak.

“Saya percaya inilah masanya kita bersatu untuk membina dan mengembalikan semula penginapan pelajar yang roboh itu. Malah saya yakin, kita akan bina yang lebih baik dan kukuh daripada bangunan sebelum ini,” ujar beliau.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8600300235.

Kemusnahan yang melenyapkan sama sekali bangunan asrama pelajar Yayasan As Sofa di Hulu Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here