Bajet 2022 turut disokong pembangkang, Perdana Menteri zahir kesyukuran

0
27
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan kesyukuran selepas Bajet 2022 diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, beliau berjanji akan memanfaatkan mandat dan kepercayaan yang diberikan itu dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Bajet 2022 telah diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Saya, mewakili kerajaan Persekutuan, berjanji, untuk memanfaatkan mandat yang diberikan dengan sebaik mungkin. Segala perincian Bajet 2022 akan kami laksanakan dengan penuh hemah demi kesejahteraan seluruh warga Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberi sokongan dalam undian ini, khususnya daripada pihak pembangkang.

Ismail Sabri berkata, beliau percaya, kekuatan sesebuah pentadbiran itu turut terletak pada proses semak dan imbang yang cemerlang.

Pada 18 November lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Bajet 2022 di peringkat dasar selepas kurang 15 orang berdiri meminta undi belah bahagian.

Bajet 2022 yang dibentang Tengku Zafrul pada 29 Oktober lalu membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Bajet 2022 menyediakan peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM332.1 bilion bagi menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here