Banjir : Malakat Eco sasar kutipan RM100,000 untuk bantu lebih ramai mangsa

0
28
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco, Adzhar Mohd Noor menyerahkan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Agama Bukit Changgang, Banting hari ini.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco melalui platfom sedekahnya, SadaqahMarket.com mensasarkan kutipan RM100,000 untuk misi bantuan mangsa-mangsa banjir di Selangor.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Eco, Hilmi Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.

Beliau berkata, bantuan wang tunai amat diperlukan ketika ini terutama untuk menampung perbelanjaan membaiki dan mengemas rumah selepas banjir surut hari ini.

“Kami sasarkan RM100,000 buat masa ini dan bantuan wang tunai dirasakan amat penting bagi keluarga mangsa-mangsa banjir. Jumlah itu pun sebenarnya masih jauh daripada mencukupi.

“Jika tidak dapat menderma di SadaqahMarket.com, doakan supaya pasukan kami diberi kekuatan untuk terus bantu lebih ramai mangsa banjir,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Hilmi Ismail
Sukarelawan Kumpulan Malakat Eco membuat persiapan pengagihan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Malakat Mall hari ini.

Hilmi berkata, selain derma secara tunai, pihak juga menerima sumbangan barangan terutama keperluan yang kurang disumbang seperti lampin, tuala wanita, telekung, sejadah, power bank, lampu suluh, tuala dan sebagainya.

Katanya, Malakat Eco sejak semalam mula mengagihkan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan di Malakat Mall dan melawat penempatan yang masih ditenggelami air.

“Semalam kami fokus kepada Kampung Tengah dan Kampung Sri Aman Puchong dan di Shah Alam dan Klang manakala hari ini misi kami diteruskan di Bukit Canggang dan Olak Lempit di Banting selepas gagal masuk semalam.

“Cuma masih ada kawasan seperti di Labohan Dagang yang masih belum dapat dimasuki kerana memerlukan motor bot. Alhamdulillah kami sudah mendapatkan dua motor bot dan memerlukan dua orang pemandu,” katanya.

Kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya yang kini beroperasi sebagai pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir.

Sementara itu kata Hilmi, Brainy Bunch sejak semalam juga mula beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara kepada mangsa-mangsa banjir dari sekitar Puchong, Dengkil, Banting dan Shah Alam.

Setakat hari ini katanya, kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya telah menampung penginapan 46 orang mangsa dan ada yang mula pulang selepas air mula surut.

“Selain penginapan, mangsa-mangsa banjir juga disediakan makanan yang dimasak, pakaian, peralatan mandi dan sebagainya.

“Kami sangat berbesar hati untuk memberikan pertolongan penginapan kepada mereka kerana ada rumah-rumah mereka yang tenggelam sepenuhnya, mempunyai warga emas dan anak orang kurang upaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here