Banjir: Ratusan masjid dan surau rosak, perlu pembaikan segera

0
39
Masjid dan surau yang ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu mengalami kerosakan teruk. Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Sekurang-kurangnya 30 masjid dan 60 surau mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar yang melanda enam daerah sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, banjir besar akibat hujan yang berpanjang selama beberapa hari itu menyebabkan banyak kerosakan pada peralatan dan kemudahan.

Selain masjid dan surau, sebanyak 30 sekolah agama yang berada di bawah seliaan jabatan agama juga mengalami kerosakan yang memerlukan penyelenggaraan segera.

” Karpet masjid dan surau rosak, kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabot, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja-kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Shahzihan Ahmad

Bagaimanapun menurut Shahzihan, angka sebenar masjid, surau dan sekolah yang terjejas adalah jauh lebih besar dan akan diketahui selepas semua pihak membuat aduan.

Dalam pada itui katanya, JAIS telah menubuhkan jawatankuasa khas JAIS di peringkat negeri dan daerah bagi menyelaraskan bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Jawatankuasa itu melibatkan Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

“Jawatankuasa yang bermesyuarat pagi tadi (Isnin) telah bersetuju mengambil langkah-langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca bencana,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here