Bantuan baik pulih kediaman musnah akibat banjir sehingga RM61,000 – PM

0
17
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat sebuah rumah yang dilanda banjir baru-baru ini

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah secara total bakal menerima bantuan lebih tinggi mencecah RM61,000.

Perdana Menteri berkata, insentif terbabit dibuat menerusi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

“Bagi kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih kediaman dengan kos sehingga RM15,000 manakala rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, bantuan sehingga RM56,000 akan diberikan untuk setiap unit rumah dibina baharu.

“Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan tidak serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022 malam ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi mengelakkan pertindihan, kerajaan turut bersetuju untuk memberikan wang tunai RM2,500 memandangkan banyak sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa.

Katanya, bantuan itu khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

“Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan ia adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat tanpa perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus, sekali gus boleh merancang masa depan selepas persaraan.

“Tatkala kita menghampiri penghujung tahun 2021, Keluarga Malaysia diuji dengan bencana banjir yang agak luar biasa terutama di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

“Bencana ini bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan 48 nyawa yang menjadi korban banjir.

“Namun, di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here