Bantuan kepada mangsa banjir bermula esok – MB Selangor

0
17
Amirudin Shari

DENGKIL – Kerajaan Negeri Selangor akan mula menyalurkan bantuan sokongan asas sebanyak RM1,000 kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini secara berperingkat-peringkat, esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dianggarkan lebih daripada 30,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri akan menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata, antara kumpulan terawal yang akan menerima agihan bantuan itu adalah mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), diikuti dengan mereka yang telah keluar dan yang tidak berpindah ketika banjir.

“Bermula esok kita akan mula bagi bantuan kepada mangsa-mangsa yang ada di PPS. Ada lebih kurang 9,000 semuanya.

“Kita juga akan mengenal pasti kira-kira 9,000 keluarga yang tidak berpindah. Jika dicampur sudah ada 18,000 keluarga.

“Itu adalah anggaran kasar berdasarkan lokaliti, saya menjangkakan angkanya mencecah lebih daripada 30,000 keluarga,” katanya pada sidang media selepas lawatan projek pembaikan Jambatan Dengkil di sini hari ini.

Amirudin Shari semasa melawat tapak pembaikan Jambatan Dengkil yang putus dua selepas hakisan teruk akibat banjir besar baru-baru ini.

Ditanya kemungkinan kerajaan akan memberikan lebih banyak inisiatif dan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada perkara paling asas iaitu keperluan harian dan tempat tinggal

“Selepas selesai bantuan asas ini baru kita lihat kepada mangsa-mangsa yang ada tanah pertanian, sekolah dan perniagaan.

“Insyallah jika ada kewangan yang kukuh. Saya tahu petani juga banyak berdepan masalah kebun dan ladang yang terkesan.

“Begitu juga dengan peniagaan. Kalau ikutkan kita memang mahu bantu semua tapi kena lihat kemampuan dan keupayaan kita,” ujar beliau.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan beberapa inisiatif bantuan kepada mangsa-mangsa banjir antaranya :

-Menubuhkan pusat sehenti untuk permohonan bantuan dengan kehadiran pihak yang dilantik sebagai pengesah antaranya polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-Permohonan rumah ke rumah untuk mangsa yang telah kembali ke kediaman masing-masing

-Bagi mangsa yang tidak berpindah, permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah / ahli parlimen / ADN/ penyelaras DUN / ahli majlis / penghulu / ketua kampung / pengerusi persatuan penduduk / Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) / ketua komuniti

-Permohonan melalui kaedah yang ditentukan oleh JPBD dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here