Bantuan : NGO perlu koordinasi yang lebih tersusun

0
57
Jumlah sampah yang terlalu banyak di kawasan penduduk kini menimbulkan risiko penyebaran penyakit dan wabak.

HULU LANGAT – Selepas seminggu banjir besar menenggelamkan hampir keseluruhan penempatan berhampiran Sungai Langat di daerah ini, kesannya masih lagi jauh dari pulih.

Kerja-kerja pembersihan yang terganggu ekoran keadaan air yang masih bertakung menyebabkan keseluruhan kawasan penduduk mula berbau dan jika terus dibiarkan berkemungkinan membawa wabak penyakit bawaan binatang.

Tinjauan Malakat Tribune di Taman Sri Nanding semalam mendapati kerja-kerja pembersihan yang dilakukan penduduk dan pihak berkuasa masih perlahan dengan timbunan sampah sarap menggunung di halaman rumah.

Keadaan diburukkan lagi dengan kerisauan penduduk untuk menghidupkan lampu dan menggunakan perkakasan bagi mempercepatkan kerja pembersihan ekoran keadaan elektrik yang masih belum stabil.

Penduduk taman perumahan itu, Mohd Ridzuan Bakar, 43, berkata, walaupun bekalan air sudah pulih tetapi kerja-kerja mengeluarkan lumpur di dalam rumah masih berjalan dan agak rumit.

“Pertama kita kekurangan peralatan untuk membersihkan rumah kemudian keadaan dalam rumah gelap dan berselut, memang susah.

“Tapi barang-barang besar yang tidak lagi boleh digunakan telah dibawa keluar dan seperti orang lain, semuanya diletakkan di depan rumah,” katanya.

Sumbangan makanan yang tidak putus-putus diterima penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat. Sekadar gambar hiasan.
Mohd Ridzuan Bakar menjamu selera selepas seharian membersihkan rumahnya.

Dalam kejadian petang Sabtu itu katanya, semua barang-barang keperluan termasuk tujuh buah kenderaan yang digunakan untuk berniaga dan ahli keluarganya rosak ditenggelami air.

Justeru Mohd Ridzuan menyeru kepada pihak berkuasa tempatan supaya mempercepatkan operasi mengeluarkan timbunan sampah sarap di kawasan itu.

“Kami tidak tahu kemampuan PBT, tapi nampak macam tidak berapa banyak jentera pengangkut dan lori sampah.

“Keadaan sebenarnya semakin mendesak kerana bau sampah sarap sudah sangat busuk. Nanti macamana penduduk nak berkemas,” katanya.

Sehubungan itu, dia menyeru kerajaan negeri supaya lebih peka kepada pengurusan bencana di kawasan itu yang banyak memerlukan penambahbaikan.

Penggunaan lebih banyak jentera berat seperti jentolak diharap dapat mempercepatkan usaha pembersihan di kawasan banjir.

Seorang lagi penduduk, Noraisah Mohd Jadal, 56, menyeru kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masuk ke kawasan penempatan penduduk supaya lebih rasional dalam gerak kerja mereka dan tidak terlalu memfokuskan kepada bantuan makanan.

Katanya, semua penduduk terharu dengan bantuan makanan yang tidak putus-putus tiba namun banyak juga perkara penting yang tidak diberi perhatian.

“Kami cukup berterima kasih kepada NGO. Ramai sangat yang datang beri nasi, air dan sebagainya. Tapi bantuan seperti itu sebenarnya sudah berlebihan dan jangan sampai berlaku pembaziran.

“Pada saya apa yang betul-betul diperlukan ketika ini adalah kerjasama setiap ahli NGO untuk membersihkan rumah, memeriksa keselamatan elektrik dan sebagainya.

“Selain itu sebenarnya banyak lagi aspek-aspek lain yang boleh dilihat dan paling penting perlu ada perancangan yang baik dalam memberi bantuan,” katanya.

Menurut Noraisah lagi, ada keluarga yang hanya didiami oleh warga emas dan kerja-kerja pembersihan masih tidak dapat dilakukan.

“Nak mengharapkan jiran-jiran tidak boleh sebab rumah mereka sendiri nak kena cuci. Apa salahnya jika semua (NGO) yang datang cari penghuni yang betul-betul memerlukan bantuan tulang empat kerat,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan banyak NGO yang datang bersungguh-sungguh untuk memberi pertolongan tanpa mengharapkan apa-apa publisiti atau balasan.

“Kita faham keadaan ini kerana ada banyak NGO yang masuk ke mari, ada yang sudah berpengalaman dan ada yang baru bermula. Yang penting jangan ada pembaziran sumber dan tenaga,” katanya.

Kerosakan di kawasan penempatan yang pastinya memerlukan bantuan dan kerjasama lebih banyak pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here