Bantuan RM1,000 untuk ketua isi rumah terjejas banjir-PM

0
37
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KLANG- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan disalurkan selepas kesemua mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang ke rumah masing-masing.

“Setiap ketua isi rumah kita akan memberi sumbangan RM1,000, bukan setiap individu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan banjir di Pejabat Tanah Selangor di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyediakan sumbangan awal berjumlah RM100 juta bagi seluruh negara sebagai bantuan pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur-infrastruktur lain.

Katanya, beliau menyedari banyak kerosakan yang berlaku dan jumlah itu akan dipertingkatkan pada masa-masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 pada September lalu kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana akan dipercepatkan di kawasan-kawasan banjir di kesemua negeri termasuk Selangor.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC) masing-masing bersetuju untuk memberi geran padanan RM20 juta kepada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here