
CYBERJAYA – Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini akan disalurkan terus kepada ketua keluarga isi rumah (KIR) bermula hari ini.
Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, bantuan itu telah disalurkan kepada kerajaan negeri dan akan diselaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM)
“Penyaluran BWI dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu sama ada serahan tunai di PKOB atau serahan tunai rumah ke rumah atau
pemindahan tunai secara atas talian (EFT).
“Kaedah ini dilaksanakan untuk mempermudah urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkantanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sehingga semalam kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.
Katanya, jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Beliau berkata, usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan BWI dapat disalurkan dengan segera.
Sementara itu, mengulas pembersihan pasca banjir, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, NGO dan individu bagi pengurusan pembersihan pasca banjir.
“Usaha ini dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) khususnya menerusi penyediaan stesen
pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenalpasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit.
“Dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan,” ujarnya.