Baucar RM500 untuk mangsa banjir beli barang elektrik – PM

0
353
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau salah sebuah rumah yang dilanda banjir baru-baru ini

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan baucar sebanyak RM500 kepada mangsa banjir bagi membeli peralatan elektrik yang baharu.

Perdana Menteri berkata, setiap ketua isi rumah (KIR) yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar tersebut.

“Menyedari musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi
pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

“Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, beberapa inisiatif turut dilaksanakan.

Beliau berkata, antaranya Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. dan bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti.

Pada masa sama, Proton juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar.

“Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

“Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” katanya.

Selain itu, katanya, baucar sebanyak RM1,000 juga disediakan untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here