
CYBERJAYA – Sebanyak 831 kawasan yang terjejas akibat banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, pembaikan bekalan itu melibatkan 510 kawasan di Pahang, 178 kawasan di Selangor, 118 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun bekalan di 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masih belum disambung atas faktor-faktor keselamatan.
“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.
Menurut TNB, usaha juga sedang giat dijalankan untuk memastikan kawasan yang terjejas akan dapat menerima bekalan elektrik secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
Sehubungan itu, TNB menasihatkan pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga.