Biar PM tentukan tarikh sesuai adakan PRU-15 – gesa Presiden MIC

0
18

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir dalam Perhimpunan Agong Tahunan MIC hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menggesa pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) agar memberikan ruang yang secukupnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa yang paling sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Vigneswaran berkata, beliau juga sudah berbincang dengan parti komponen BN yang lain iaitu MCA dan PBRS yang sependapat untuk memberi mandat kepada Perdana Menteri menentukannya.

“Kami ketiga-tiga parti komponen BN telah membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab mengadakan PRU kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan hasrat ini telah diberitahu kepada Pengerusi BN pagi tadi,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agong Tahunan MIC hari ini.

Dalam pada itu, katanya, MIC akan terus-menerus mendukung wawasan untuk
memperkasakan masyarakat India dalam pelbagai aspek termasuk aspek fizikal dan rohani demi melahirkan insan yang berjaya, berintegriti dan bermaruah dalam Keluarga Malaysia.

Katanya, pemerkasaan masyarakat India melalui penstrukturan semula status sosio-ekonomi Komuniti India juga perlu diadakan demi mencapai aspirasi tersebut.

Sehubungan itu, katanya, MIC akan menfokuskan kepada generasi muda dan keluarga mereka bagi menyediakan pendekatan holistik dalam proses pembinaan masyarakat yang berdikari dan berdaya tahan serta berdaya saing di masa hadapan.

Sementara itu, Vigneswaran turut melahirkan perasaan kekesalan dan kekecewaan
apabila ada pihak yang menuduh penubuhan sekolah pelbagai aliran adalah punca menghalang pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.

Beliau berkata, desakan untuk menghapuskan sekolah vernakular ini perlu dihapuskan adalah tidak wajar kerana tidak berpandu kepada sejarah negara.

“Sekolah pelbagai aliran adalah sebahagian daripada DNA Malaysia. Saya sedih kerana kita sering berhadapan dengan usaha sistematik untuk mengacau-bilau cara hidup masyarakat kita.

“Provokasi dan kelakuan seumpama ini boleh meranapkan kestabilan dan keamanan jika tidak ditangani dengan bijak. Persoalan saya adalah kepada kepimpinan kerajaan kita pada hari ini, adakah kita akan membenarkan nilai-nilai yang telah membina negara kita, dipijak dan diputar belit oleh golongan tertentu yang begitu taksub mengejar agenda politik terpesong mereka,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here