Bicara Najib babitkan dana 1MDB ditanggguh esok

0
27
Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan status MySejahtera miliknya di Mahkamah hari ini

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguh ke esok.

Perkara itu diputuskan selepas MySejahtera Najib dan peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kekal, masing-masing sebagai PUS dan kontak kasual.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara itu selepas peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib memberitahu mahkamah tentang itu.

Hariharan memaklumkan, status MySejahtera Najib dan Shafee kekal walaupun selepas memaklumkan Kementerian Kesihatan mengenai hasil ujian Covid-19 mereka.

“Semasa tiba di mahkamah, status MySejahtera Najib dinyatakan sebagai PUS manakala status Muhammad Shafee dinyatakan sebagai kontak kasual, namun status kedua-duanya bertukar kepada status biru (berisiko rendah) selepas pihak keselamatan mahkamah mengarahkan mereka untuk mengemas kini pemuatan profil MySejahtera mereka.

“Bagaimanapun, mereka diminta untuk mengemas kini pemuatan profil MySejahtera mereka semula selepas memasuki bilik mahkamah dan status mereka kembali kepada kontak kasual dan PUS,” kata Hariharan.

Hakim kemudiannya mengarahkan Najib dan Muhammad Shafee supaya mengambil ujian RTK Antigen dan memaklumkan keputusannya kepada KKM agar status mereka boleh dinilai semula.

Beliau kemudian memerintahkan agar prosiding disambung semula esok bagi membolehkan pihak pembelaan mengemas kini status MySejahtera Najib dan Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib berkata dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan minggu ini iaitu bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan pegawai khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail tidak dapat hadir ke mahkamah.

“Kami menerima arahan daripada TPR kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram supaya memohon perbicaraan itu dijalankan secara hibrid,” kata Ahmad Akram.

Hariharan bagaimanapun membantah cadangan untuk menjalankan perbicaraan dalam talian itu dan menegaskan bahawa pihak pendakwaan mempunyai masa hampir sebulan untuk menyediakan saksi baharu di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here