Bilik penting sekolah akan ditempatkan di tingkat atas – Menteri

0
16
Radzi Jidin melakukan kerja pembersihan di SMK Bentong, yang ditenggelami banjir besar di Pahang.

BENTONG – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbang keperluan menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik-bilik utama sekolah di tingkat atas sebagai langkah keselamatan ketika berlakunya banjir.

Menterinya, Datuk Seri Radzi Jidin berkata, langkah itu akan diputuskan selepas mengambil kira banyak fasiliti sekolah yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

Katanya, mengambil kira kejadian banjir yang berlaku di luar jangkaan, kerajaan akan membuat satu ketetapan khusus supaya pejabat sekolah, bilik guru, bilik komputer dan bilik buku teks ditempatkan di kedudukan yang tinggi.

“Dalam banjir kali ini, banyak sekolah yang belum pernah dilanda banjir telah dinaiki air.

“KPM sedang melihat untuk membuat satu ketetapan khusus supaya bilik utama seperti pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik komputer dan bilik buku teks ditempatkan di tingkat atas,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong yang ditenggelami banjir.

Beliau berkata, KPM akan memastikan penyelenggaraan infrastruktur serta penggantian perabot dan kelengkapan sekolah yang terlibat banjir akan dilaksanakan segera.

Pada hantaran Facebook itu, nitizen memuji kesungguhan Radzi yang diselaputi selut ketika bergotong-royong membersihkan sekolah yang ditenggelami sehingga tingkat dua bangunan.

Alhamdulillah, masih ada yang berpangkat menteri begitu perihatin dengan masalah rakyat. Terima kasih dan semuga dipermudahkan. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik semua yang terlibat dalam proses pasca banjir ini. Innsya Allah,” kata Nonie Delights.

Terbaik. Ini betoi² membantu rakyat membersihkan kawasan banjir kilat. Tidak macam menteri lain buat wayang sahaja. Ada buat kerja semua boleh lihat badan yg kotor,” kata Chao Chong Khor.

Gotong royong pembersihan itu disertai para guru, kakitangan sekolah, sukarelawan Guru Pewaris Negara, NGO dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Terima kasih di atas kerjasama kalian semua,” katanya.

Radzi Jidin melakukan kerja pembersihan di SMK Bentong, yang ditenggelami banjir besar di Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here