Bomba nasihat orang ramai tangguh aktiviti luar, pendakian berikutan fenomena luruan monsun

0
34

CYBERJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai yang berada di pantai timur dan utara Sabah supaya menangguhkan aktiviti riadah luar seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian, berikutan luruan monsun yang diramal bermula esok.

Pengarah JBPM Sabah, Md. Ali Ismail berkata, ini kerana luruan monsun yang membawa angin sejuk dari Siberia, dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

Keadaan ini berpotensi mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan lain-lain kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada.

JBPM Sabah telah diletakkan dalam keadaan lebih bersiap siaga, dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi strategik dengan lebih awal,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Md Ali menambah, JBPM Sabah juga membuat pemantauan dari semasa ke semasa, selain berkoordinasi dengan agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri, untuk bertindak balas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis lepas mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Dis, yang mana antara lain boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Menurut MetMalaysia, keadaan itu juga boleh menyebabkan hujan berterusan di Johor, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 28 hingga 30 Dis ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here