Buka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal-PM

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, secara maya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat itu diyakini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang diiktiraf di pentas antarabangsa.

“Saya berharap JPA dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi ini.

“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc Amerika Syarikat dan Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” katanya pada ucaptama perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, secara maya, hari ini.

Bagi sektor awam kata Ismail Sabri, Malaysia boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan, contohnya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.

“Sebagai contoh terbaik, JKR juga bergerak ke hadapan dengan  teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (B-I-M), I-Supervision dan E-Perolehan dalam pelaksanaan projek. 

“Ini pastinya sebagai pemangkin kepada pelaksanaan era  Revolusi Perindustrian (IR 4.0) yang berimpak tinggi seperti percetakan tiga dimensi (3D), Internet kebendaan (IoT), data raya (Big Data), realiti maya (virtual reality) dan teknologi realiti terimbuh (augmented reality),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut membangkitkan berhubung bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) yang sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. 

Beliau berkata, stigma itu sudah lapuk kerana graduan dalam bidang itu sebenarnya kian mendapat perhatian majikan.

Jelas beliau, Malaysia kini mempunyai banyak syarikat berteraskan  teknologi dan bertaraf dunia yang majoritinya dipelopori warga profesion teknikal dan peluang pekerjaan berkaitan  jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan  muda. 

“Ia adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak tahun 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi  dan Inovasi Negara (DSNT) yang menggalakkan penggunaan  teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional  teknikal yang mahir dan berketerampilan.  

“Sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang  kemahiran berkaitan profesion teknikal,” katanya. 

Justeru, Perdana Menteri berkata, bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus  perubahan dan ledakan teknologi, kerajaan memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat  Negara yang menyokong dasar-dasar pembangunan  negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital  Malaysia (MyDIGITAL).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here