Bukan sekadar kosmetik, amalan 5S perlu ditekan untuk elak kemalangan di tempat kerja

0
37
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pekerja dan majikan di setiap sektor digesa untuk melihat amalan 5S bukan sahaja dari sudut kebersihan dan kecantikan tetapi lebih daripada itu.

Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, ini kerana amalan 5S yang diamalkan di kilang-kilang dan kawasan industri di Jepun telah berjaya mempertingkatkan keselamatan di industri dan mengelak daripada sebarang kemalangan yang tidak berbau.

Beliau berkata, berbanding di Malaysia, amalan 5S hanya dilihat sebagai elemen kebersihan dan kecantikan, yang tidak lebih dari itu.

“Sebenarnya di Jepun, amalan 5S adalah bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan di industri dan juga mengelak dari sebarang kemalangan yang tidak berbau.

“Untuk makluman semua, 5S yang asalnya dalam nihongo, iaitu bahasa Jepun ialah Seiri, Seiton, Seisou, Seiketsu dan Shitsuke. Dalam Bahasa Malaysia ia membawa maksud, Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

“5S ini ialah amalan yang pada asalnya dipraktikkan di Nihon, untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat. Disebabkan hasil keberkesanan yang baik, amalan 5S ini telah menjadi satu kaedah pengurusan yang akhirnya bukan sahaja menjadikan persekitaran kerja yang bersih dan kemas, malah membantu meningkatkan keselamatan, kuantiti dan seterusnya kualiti yang tinggi di Jepun.

“Amalan 5S ini sebenarnya adalah satu konsep yang mudah, tetapi ia mampu memberikan impak yang hebat sekiranya ia dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Datuk Hisamudin Yahaya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, mengulas pindaan akta tersebut, katanya, pindaan terhadap akta yang berusia 27 tahun itu disifatkan sebagai tepat.

Katanya, usaha itu penting untuk melindungi nyawa dan kesihatan sejumlah tujuh juta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja dalam pelbagai sektor industri di negara ini.

Bagaimanapun katanya, selain pindaan Akta 514 untuk menjamin keselamatan pekerja, faktor amalan pekerja dan inisiatif kilang dan industri juga amatlah penting dalam membina satu suasana pekerjaan yang sihat dan berdaya saing tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here