Bukan ‘wayang’, Rina guna ‘waterjet’ cuci najis unggas dan cicak

0
150
Video yang tular menunjukkan Datuk Seri Rina Mohd. Harun membersihkan lantai dan longkang mendapat kecaman pelbagai pihak kerana keadaannya yang bersih dan tidak kotor disebabkan banjir

CYBERJAYA – Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menjelaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang teruk dikecam dalam media sosial hari ini bukan ‘berlakon’ sebaliknya membantu pihaknya membersihkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sepang di sini sebelum dipulangkan semula.

JKM dalam satu kenyataan berkata, jabatan itu telah mengaturkan Operasi Pasca Bencana Banjir hari ini dengan membersihkan Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi yang telah dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
dari 18 hingga 23 Disember 2021.

Jelas kenyataan itu, semua PPS perlu dipulangkan semula dalam keadaan bersih dan teratur.

“JKM amat berbesar hati atas kesudian YB Datuk Seri Rina untuk turut serta dalam operasi ini, bukan sekadar pembersihan kawasan, malah turut bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia yang lain mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“YB Datuk Seri Rina juga turut mengemas khemah-khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan akan datang,” kata kenyataan itu.

JKM menambah, selaku jabatan yang menguruskan operasi itu, pihaknya telah memohon kesudian Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

Jelas jabatan itu, memandangkan peralatan waterjet sedia ada di lokasi pembersihan, Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka.

“JKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa keterlibatan YB Datuk Seri Rina bukanlah sekadar membersihkan simen tersebut, malah beliau telah sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan. Gambar-gambar aktiviti ini disertakan untuk tatapan umum.

“JKM berasakan tidak adil para netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha dan penglibatan YB Datuk Seri Rina dalam operasi pembersihan ini,” katanya kenyataan itu.

Dalam pada itu, JKM juga menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk tampil mendaftar dan terlibat menjadi Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu Operasi Pasca Banjir, dari membuat dan menyebarkan provokasi yang tidak bermanfaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here