Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu- PM

0
8
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Golongan Bumiputera di negara ini perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur secara inklusif dari Perlis hingga ke Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahap sosioekonomi Bumiputera  masih perlu diperkasakan kerana jurang pendapatan dan pemilikan aset masih rendah.

“Walaupun Bumiputera kaum majoriti di negara ini dengan seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, namun status sosioekonomi Bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan khususnya jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Penglibatan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar serta mengkaji polisi perolehan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta isu-isu berkaitan ekuiti korporat Bumiputeta masih jauh tidak mencapai sasaran 30 peratus.

“Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan minoriti. TPB2030 merupakan agenda besar melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB203) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, TPB2030 adalah untuk memperkasa agenda pembangunan dan sosioekonomi Bumiputera dalam membentuk keseimbangan peluang dari segi ekonomi supaya tiada Bumiputera ketinggalan.

Tambahnya, TPB2030 yang dinaungi oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) meletakkan enam sasaran utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.

“Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here