BWI: Sehingga semalam RM34 juta disalurkan kepada ketua isi rumah terjejas banjir

0
8
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat mangsa banjir baru-baru ini

CYBERJAYA – Sehingga semalam, kerajaan telah menyalurkan dana sebanyak RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana yang Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

“Agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) ini sudah mula diterima mangsa banjir semalam.

“Sehingga 27 DIsember 2021, kerajaan telah salurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir, kata Perdana Menteri di laman Facebooknya hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam memutuskan bantuan berkenaan akan dilaksanakan menerusi serahan tunai.

“(Ia) bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI,” katanya.

Ismail Sabri berkata terdapat tiga kaedah penyaluran BWI iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara atas talian (EFT).

“Tiga kaedah berkenaan akan mempermudahkan urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas.

“Bantuan berkenaan sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.

Dalam pada iru katanya, usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU (JPM)

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here