
CYBERJAYA- Caj transaksi sebanyak RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan berkuat kuasa semula pada 1 Februari tahun hadapan.
Antara bank yang akan mengenakan semula caj itu ialah CIMB Malaysia dan Kumpulan Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang mengunumkan perkara berkenaan menerusi laman rasmi Facebooknya hari ini.
CIMB Malaysia berkata, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM atau mesin layan diri bukan CIMB Bank atau CIMB Islamic bank.
“Pelanggan (CIMB) masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri kami,” katanya.
Sementara itu, Maybank dalam kenyataan di akaun Facebook juga membuat pengumuman yang sama.
“Harap maklum bahawa mulai dari 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.
“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank,” ujar kenyataan tersebut.
Pada 6 April tahun lalu, kerajaan telah memutuskan pengecualian caj pengeluaran RM1 antara bank (interbank) di semua ATM.
Pengecualian tersebut yang melibatkan semua institusi perbankan sebagai salah satu usaha kerajaan dalam mengelak kesesakan di kaunter-kaunter bank susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.