CEUPACS tidak setuju pengeluaran wang KWSP dibenarkan lagi

0
80
ADNAN MAT

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan supaya pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan semula.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pendirian itu berikutan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih dan kembali berkembang, serta kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan ketat terhadap pelbagai sektor.

“Pada peringkat awalnya, CUEPACS bersetuju dengan langkah ini kerana ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Wang tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan termasuk penjawat awam yang mencarum KWSP serta pasangan mereka yang mungkin terjejas.

“Bagaimanapun, setelah hampir dua tahun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, keadaan ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada sektor ekonomi,” kata Adnan dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut, CUEPACS berpandangan tiada lagi keperluan untuk kerajaan membenarkan kemudahan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP pekerja.

Tambah Adnan, sehingga kini kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

Beliau kemudiannya berkata, data yang dikeluarkan KWSP turut memaklumkan bahawa 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Ini amat membimbangkan dan memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi. Matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak.

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin, seperti dinyatakan oleh KWSP kira-kira 50 peratus ahli yang memiliki simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

“Kita tidak mahu kesannya menjadi lebih berpanjangan pada hari tua kelak kerana sepatutnya pesara ini harus hidup dengan lebih sejahtera,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here