Cheras Road FC bantu mangsa kebakaran di Flat Sri Johor

0
39


Khairul Izani (dua dari kiri) menyerahkan barangan kepada Ketua Blok 31 Flat Sri Johor sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di flat berkenaan.

KUALA LUMPUR- Cheras Road FC hari ini tampil memberi sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Blok 31 Flat Sri Johor, yang berlaku pada Ahad lepas.

Penaung Cheras Road FC, Khairul Izani Omar berkata, sumbangan berkenaan berupa beras, gula, makanan kering dan juga pelbagai keperluan asas lain.

Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan program tangungjawab sosial korporat (CSR) Cheras Road FC dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Hari ini kita agihkan bantuan kepada lapan keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut, ini merupakan program CSR kami dalam membantu masyarakat.

“Lebih-lebih bagi, Flat Sri Johor ini juga merupakan antara kawasan komuniti kami sendiri, jadi ia bersesuaian dengan slogan kami Football For Community,” katanya ketika ditemui hari ini.

Khairul Izani ketika menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Flat Sri Johor.

Terdahulu, Khairul Izani bersama pemain-pemain Cheras Road FC mengagihkan bantuan berkenaan kepada penerima di Dewan Serbaguna Sri Johor yang dijadikan penempatan sementara.

Pada Ahad lalu, lapan buah rumah di Flat Sri Johor hangus terbakar yang dipercayai berpunca daripada tong gas meletup di salah sebuah rumah terlibat.

Ketika kejadian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan mengumumkan peruntukan awal RM1,000 bagi setiap keluarga.

Sementara Ketua Blok 31 Flat Sri Johor, S. Gunalan mengucapkan terima kasih kepada Cheras Road FC yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

“Terima kasih kepada Cheras Road FC kerana sudi datang dan bantu mangsa-mangsa kebakaran. Ketika kesemua lapan keluarga mendapat sumbangan sewajarnya daripada pelbagai pihak,” katanya.

Untuk rekod, Cheras Road FC merupakan kelab bola sepak amatur yang berpengkalan di Cheras dan ketika ini, pasukan berkenaan sedang bersaing dalam Liga Kuala Lumpur dan juga M5.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here