China kekal rakan dagangan terbesar Malaysia

0
8
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PULAU PINANG – China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia biarpun berdepan krisis semasa Covid-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 dan menyumbang 18.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan Malaysia pada 2020.

“Malaysia ketika ini terus memperkuatkan ikatan ekonomi yang sedia terjalin dengan China sejak 1974.

“Malaysia yang menjadi negara perintis ASEAN yang mengikat hubungan diplomatik secara rasmi dengan China mahu hubungan strategik tersebut kekal terikat.

“Eksport ke China direkodkan tertinggi pada 2020 dengan berkembang sebanyak 11.1 peratus menjadi AS$37.77 bilion (RM159.77 bilion), manakala China juga menjadi sumber import terbesar Malaysia iaitu sebanyak 21.5 peratus,” kata Perdana Menteri dalam ucapan yang disiarkan secara maya hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Ekonomi dan Teknologi China Antarabangsa 2021 (GCETS) di Batu Ferringhi di sini yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut mengadakan ucapan secara maya ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta Besar China, Ouyang Yujing.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, China juga merupakan pelabur luar terbesar negara dalam sektor pembuatan dalam tempoh lima tahun sejak 2016 sehingga 2020.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industi menerusi agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 243 projek dengan jumlah pelaburan AS$14.91 bilion (RM63.07 bilion) dan menyumbang 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Syarikat-syarikat terkenal China seperti Huawei, Longi Solar, Jinko Solar, Alliance Steel, Alibaba Group dan banyak lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan kehadiran syarikat-syarikat ini menggambarkan ekosistem mesra pelabur di Malaysia.

Selain itu, kolaborasi ekonomi China dan Malaysia turut diperkuatkan dengan menandatangani Five Year Program for Economic and Trade Cooperation serta Belt and Road Initiative masing-masing pada 2013 dan 2017,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here