Dagangan Bursa Malaysia kembali meningkat

0
10
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia kembali meningkat selepas susut semalam didorong tindakan pelabur memburu saham-saham wajaran tinggi yang rendah selain dipacu oleh aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.10 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.79 mata kepada 1,490.24 berbanding 1,483.45 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.49 mata kepada 1,484.94.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 274 berbanding 127 manakala 236 kaunter lain tidak berubah, 1,649 tidak didagangkan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 339.5 juta unit bernilai RM161.1 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya berkata Wall Street mencatat peningkatan semalaman yang ketara berikutan kenyataan bahawa varian Omicron berkemungkinan menyebabkan kesan lebih ringan berbanding varian COVID-19 sebelum ini yang berkemungkinan mendorong sokongan belian terhadap saham-saham tempatan.

Dow juga dapat memulihkan kerugian dialami dalam sesi sebelumnya apabila laporan hospital Afrika Selatan tidak mengalami peningkatan mendadak, sekali gus meredakan kebimbangan awal mengenainya.

“Bagi kemajuan masa depan, kami percaya pelabur berkemungkinan menumpukan saham-saham bernilai serta saham wajaran tinggi susulan aktiviti memperelok akain.

“Malah, harga minyak yang mengukuh juga berkemungkinan menyokong saham-saham tenaga sekurang-kurangnya dalam masa terdekat,” kata firma pembrokeran itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank, Axiata dan Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM3.94, RM3.71 dan RM9.08.

Maybank, IHH dan Telekom Malaysia meningkat lima sen kepada RM8.04, RM6.60 dan RM5.36.

Bagaimanapun, Top Glove, kekal rendah pada RM2.45 atau susut 12 sen manakala Hartalega turun 15 sen kepada RM5.94.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut dua sen kepada enam sen, Impiana Hotels naik setengah sen kepada 9.5 sen dan KNM turun setengah sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 48.97 mata kepada 10,858.91, Indeks FBMT 100 meningkat 48.77 mata kepada 10,567.70 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 32.60 mata kepada 11,743.63.

FBM 70 naik 67.24 mata kepada 14,040.13 dan FBM ACE naik 20.02 mata kepada 6,233.04.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.35 mata kepada 191.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 85.47 mata kepada 15,053.18 dan Indeks Perladangan menambah 8.28 mata kepada 6,402.43.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here