Dakwaan PBB hantar bantuan banjir tidak benar

0
31
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

CYBERJAYA – Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN menghantar pasukannya untuk membantu misi kemanusiaan banjir di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, dakwaan itu yang menjadi tular di media sosial adalah tidak benar.

Terdahulu, dakwaan itu timbul berikutan rakaman video menunjukkan beberapa trak tiga tan berwarna putih berlogokan UN yang dikongsikan oleh pengguna media sosial dengan penerangan yang mengelirukan.

Tangkap layar paparan yang menjadi tular di media sosial.

“Penularan video berdurasi satu minit memperlihatkan pergerakan trak tiga tan UN membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia melalui Facebook masing-masing pada 24 dan 7 Disember lalu adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, paparan video itu adalah proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan itu diaturgerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here