Elak banjir berulang, Muhyiddin gesa Sungai Langat diluruskan

0
58
Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan kata-kata semangat kepada seorang mangsa banjir di Hulu Langat ketika menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di sini.

HULU LANGAT – Kerajaan digesa supaya segera membuat kajian untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang.

Presisen Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian banjir besar daripada berlaku semula di Hulu Langat yang memusnahkan ribuan harta benda.

“Saya difahamkan hujan lebat telah menyebabkan air sungai melimpah dengan kadar yang cepat dan saya ingin menyarankan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di sini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau keadaan banjir di Hulu Langat ketika menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di sini.

Katanya, Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.

“Tabung Bencana Banjir Bersatu yang berjumlah RM1 juta sepertimana yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, saya telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta kerajaan menyediakan bantuan dari segi kesihatan dan psikologi bagi membantu trauma yang dihadapi oleh mereka yang telah kehilangan harta benda dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya pengiktirafan diberikan kepada sukarelawan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang dalam membantu mangsa banjir.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here