Enggan ikut majoriti, Akta Pengambilan Tanah terpaksa digunakan untuk pemilik enggan beri kerjasama

0
80
Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) memaklumkan bahawa pengambilan tanah milik penduduk flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru terpaksa dibuat mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 selepas terdapat pemilik yang enggan menandatangani perjanjian usahasama yang telah dibuat bersama pemaju sejak lima tahun lalu.

Menurut PPKB dalam satu kenyataan, berdasarkan tawaran yang dibuat itu sejumlah 219 lot atau unit flat (27 lot dan 192 unit flat) atau 66.77 peratus telah menandatangani perjanjian usahasama.

Bagaimanapun, katanya, perolehan tanah bagi baki 109 lot atau unit flat (37 lot dan 72 unit flat) atau 33.23 peratus telah dibuat dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Kaedah perolehan tanah pembangunan semula ini dilakukan secara hibrid yang melibatkan perjanjian usahasama pemilik dengan pemaju dan pengambilan tanah.

“Ianya adalah alternatif kaedah pembangunan bagi merealisasikan pembangunan semula agar kepentingan pemilik yang majoritinya telah bersetuju diambilkira.

“Pewartaan Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek ini telah dikeluarkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9400 bertarikh 18 Jun 2021, manakala pewartaan berdasarkan Seksyen 8, akta yang sama telah dibuat pada Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan pembangunan semula kawasan itu merupakan inisiatif kerjasama swasta di antara pemilik tanah dan flat PKNS Sungai Baru dengan pemaju iaitu Ritzy Gloss Sdn. Bhd.

Jelasnya, pemaju itu merupakan anak syarikat Suez Capital Sdn. Bhd. dan juga adalah pemaju pertama yang berjaya melaksanakan pembangunan semula Rumah Pangsa 4 Tingkat Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, lima tahun lalu.

“Pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PPHKSB) pada tahun 2016 untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru.

“Sejumlah 328 unit (64 lot teres dan 264 unit flat) terlibat dengan projek pembangunan semula ini. Projek ini berada di luar kawasan Petempatan Pertanian Melayu (MAS) yang sinonim dengan Kampong Bharu.

“Pembangunan kawasan ini pada asalnya telah dimajukan oleh PKNS dan pegangan tanah di kawasan Sungai Baru adalah pajakan 99 tahun,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan cadangan yang diberikan setiap pemilik akan mendapat unit gantian hartanah berdasarkan jenis
dan kategori tanah milik mereka.

“Untuk unit gantian ini, pemaju telah bersetuju untuk menawarkan rumah berkeluasan 90.02 meter persegi (969 kaki persegi) dan 111.48 meter persegi (1,200 kaki persegi) dengan
kemudahan fasiliti kondominium beserta petak aksesori (tempat letak kereta).

“Harga unit gantian yang ditawarkan oleh pemaju adalah dianggarkan RM823 ribu bagi rumah berkeluasan 90.02 meter persegi (969 kaki persegi) dan RM1.02 juta bagi rumah berkeluasan 111.48 meter persegi (1,200 kaki persegi).

“Selain itu, pemaju juga menawarkan bayaran persetujuan menandatangani perjanjian usahasama, kos pemindahan keluar rumah, kos pemindahan masuk semula ke unit gantian hartanah, ex-gratia ubahsuai rumah sediada, bayaran penyewaan rumah sementara atau
penyediaan rumah transit sehingga unit gantian hartanah diserahkan.

“Bagi pemilik rumah teres bayaran lebihan tunai harga unit gantian juga ditawarkan. Pemaju juga turut membantu pemilik-pemilik berkenaan bagi
menyelesaikan isu harta pusaka serta penyempurnaan pindah milik hak milik strata,” katanya.

Ujarnya, bagi pemilik rumah Flat PKNS Sungai Baru bersaiz 41 meter persegi akan memperolehi anggaran tawaran usahasama bernilai RM880 ribu dengan unit gantian berkeluasan 90.02 meter persegi manakala bagi rumah flat sediada yang bersaiz 53 meter persegi hingga 56 meter persegi pula akan memperolehi anggaran tawaran usahasama bernilai RM1.09 juta dengan unit gantian berkeluasan 111.48 meter persegi.

Bagi pemilik rumah teres pula, katanya, purata pemilik akan memperolehi tiga unit gantian hartanah yang jumlah anggaran tawaran usahasama bernilai RM2.7 juta dan bayaran lebihan tunai harga unit gantian.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here