
KUALA LUMPUR – Syarikat minyak antarabangsa, ExxonMobil bakal membawa lebih 300 bidang pekerjaan berkemahiran baharu ke Malaysia bagi memenuhi permintaan dalam bidang kejuteraan dan teknologi maklumat.
Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan ExxonMobil, Sukiman Mohamed berkata, bagi mencari calon yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan tersebut, pihaknya bekerjasama dengan Perkeso dalam Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia untuk mencari bakat baharu.
“Sepanjang dua hari lepas, ExxonMobil Malaysia telah menemubual lebih 230 calon di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, telah beroperasi di Malaysia selama 128 tahun dan terus melabur dalam membangunkan modal insan di Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja global.
Pada masa sama, katanya, ExxonMobil Malaysia juga merupakan pemenang Anugerah Majikan Graduan Terkemuka Malaysia 100 dan baru-baru ini memenangi anugerah Majikan Siswazah Paling Diutamakan 2022 oleh Graduates’ Choice Award.
Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Lebih 24,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 50 majikan.-MT