FELCRA agih untung RM31.6 juta kepada 7,477 peserta Wilayah Sarawak

0
22
Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan replika chek berjumlah RM31.6 juta sebagai agihan keuntungan FELCRA kepada peserta di Wilayah Sarawak.

KOTA SAMARAHAN – Sebanyak 7,477 peserta FELCRA di Wilayah Sarawak menerima ‘durian runtuh’ menerusi agihan keuntungan FELCRA Berhad.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agihan keuntungan sebanyak RM31.6 juta itu adalah bagi tempoh Interim 1 dan 2 tahun 2021.

“Saya mengucapkan tahniah kepada FELCRA dan juga peserta khususnya di Wilayah Sarawak hari ini atas penerimaan keuntungan yang dikongsikan

“Ini menandakan usaha pemulihan ekonomi terus dipergiatkan dan berada di landasan yan tepat di mana FELCRA berjaya menyalurkan agihan keuntungan yang lebih tinggi kepada pesertanya,” katanya pada sidang media Majlis Kesyukuran Peserta FELCRA Wilayah Sarawak di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB II, Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Awang, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mahdzir berkata, FELCRA akan terus memperkasakan kegiatan perladangannya bagi memastikan semua peserta mendapat manfaat yang maksimum.

Katanya, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), FELCRA Berhad mensasarkan untuk membuka lebih 1,000 hektar ladang baru di seluruh Sarawak.

“Ia sekaligus mewujudkan peluang dan manfaat kepada hampir 700 orang peserta baru dari Sarawak.

“Berpaksikan dua teras utama iaitu Menstruktur Semua Ekonomi Negara dan
Mempertingkat Infrastruktur secara Menyeluruh, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menekankan pemerkasaan program sosio-ekonomi untuk mewujudkan suasana kehidupan luar bandar yang lebih sejahtera”, tambah Mahdzir.

Kerajaan Persekutuan juga katanya, telah meluluskan peruntukan pembangunan ameniti sosial di Sarawak kepada FELCRA Berhad berjumlah RM1.77 juta.

Ia merangkumi projek bagi peruntukan tahun 2021 sebanyak RM770 ribu dan RM1.0 juta bagi tahun 2022.

“KPLB terus komited dalam melaksanakan projek infrastruktur jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan, ameniti sosial serta capaian internet melalui agensi pelaksana seperti FELCRA dan agensi-agensi lain di bawah seliaannya.”

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar golongan B40 serta bantuan bakul makanan kepada 100 keluarga FELCRA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here